|
Monday, 24 September 2012 | 0Superstar (s)!
"Macam mana awak?"
Seraut wajah bersih itu saya tatap dengan penuh kekeliruan. Rambut panjangnya disisir rapi lalu diikat. Saya mengerutkan wajah tidak mengerti.
"Macam mana apa?" tanya saya memohon kepastian. Kuih-muih yang terhidang di hadapannya dijamah lalu membiarkan soalan saya tidak terjawab seketika. Saya masih menanti.
"Saya di sekolah seronok di sini. Tapi saya tahu seronok itu disebabkan saya mudah masuk dengan orang putih. Senang nak bergaul dan mereka senang berkawan dengan kita. Tambahan pula, dengan pakaian saya yang sama dengan mereka, kehidupan di sini tak jadi masalah. Pelajaran pun baik, dan saya kira awak pun dari segi pembelajaran lebih kurang sama taraf dengan mereka. Tapi dengan cara awak, saya rasa susah awak nak copedengan semua benda, kan?"
Fahamlah saya akan maksudnya. Riak wajahnya menunjukkan bicaranya bakal disambung. Namun, kelihatan berat. Saya terdiam. Sekitar lima minit kemudian, saya bersuara.
"Awak ada nak katakan sesuatu?"
Dia masih kelihatan berat. Saya lalu katakan,"Saya dengar. Jangan risau, saya tak akan makan awak pun," seloroh saya lalu menguntum senyum. Dia kelihatan lebih yakin.
"You're not going to be offended, right?" Saya menggeleng. Dia lalu menghela nafas.
"Sebenarnya, susah saya nak katakan semua ni. I mean, of course, saya kena jaga bahasa. Kebiasaannya tak berani sangat nak cakap macam ni dengan gadis bertudung. Tapi saya rasa, dengan penampilan awak ni, mungkin dah pernah 'kena' teruk lagi. Terutama dengan menetap di sini." Dia menghela nafas lagi. Saya masih mendengar. Sekali-sekala mengalihkan pandangan ke arah ibunya.
"Saya tahu keadaan yang mungkin membuatkan kita rasa susah di tempat macam kita. Umur kita muda, pengetahuan tak sebanyak mana. Dengan prioriti yang lain, saya sedar, ia boleh menjadi beban. Apa yang saya nak katakan, bagaimana ...awak boleh buat semua ni? Atau, awak lakukannya semata-mata kerana awak berada di sini dengan keluarga? Yang mana ibubapa awak tidak akan menyetujui dan memarahi awak jikalau awak berubah imej?" sambungnya lagi.
Terpegun juga saya mendengar kata-katanya. Saya mengucapkan syukur, dia yang saya temui di rumah terbuka sebuah keluarga Melayu itu, turut mempunyai kesedaran, sebagai seorang remaja, yang menetap di bumi asing seperti ini.
Pelajar remaja yang menetap di negara Eropah mungkin menghadapi kesukaran dalam menangani pengaruh sosial di sini. Terutamanya mereka yang dalam lingkungan usia yang hanya setahun jagung yang mana kekuatan pemahaman yang tersemai dalam pemikiran kemungkinan besar tidaklah seteguh mereka yang lebih dewasa, yang lebih berpengalaman. Malahan, menjadi satu budaya di sini untuk mempercayai sesuatu mesti disertakan sebab yang kuat. Bukan sekadar keyakinan. Bukan sekadar membuta tuli.
Kerana itu, apabila ada situasi seperti adanya seorang yang beragama beramal bersama agamanya, mereka akan bertanya sebab dan alasan kita menganutinya. Seterusnya, perlu membentangkan hujah dan sebab untuk setiap apa yang kita buat.
Ini tidak mudah, bagi kami yang hanya berada di sekolah menengah, yang mana mungkin akan tersisih daripada pergaulan dengan kawan-kawan, memandangkan personaliti yang dibawa mungkin tidak disenangi mereka, lantaran apa yang mereka inginkan adalah keseronokan, maka jika seseorang itu bukanlah jenis orang yang boleh berseronok bersama, dalam banyak situasi, dia bukanlah seorang yang digemari.
Ini juga boleh diaplikasikan bukan hanya di negara Eropah, tetapi di Malaysia dan di mana-mana sahaja. Hakikatnya, personaliti Muslim yang dibawa itu boleh menjadi cabaran, namun solusi untuk terus kekal membawa identiti yang sama adalah dengan kekuatan pemahaman seseorang itu terhadap agamanya.
Dalam usaha untuk menyemai kekuatan pemahaman, tanggungjawab tersebut tidak hanya terletak di atas bahu remaja itu sendiri, tetapi juga orang di sekeliling mereka. Sungguh, suasana sekeliling adalah salah satu pengaruh yang besar terhadap seseorang. Ia mesti ditangani dengan memperolehi ilmu yang cukup dan tugas ini seharusnya dilaksanakan sebaiknya oleh orang yang bertanggungjawab di sekelilingnya.
Namun, sayang, kebanyakan orang hari ini memandang remeh akan isu pemahaman yang mesti ditanam dalam setiap individu. Apabila ada individu yang bertanya sebab untuk bertudung, golongan ini mencemuh dan membalas dengan jawapan seperti,"Tanya pulak, sebab Allah suruh lah. Dah tak ada iman ke?"
Apabila ada yang menginginkan hujah tentang sesuatu, mereka dituduh pula tidak meletakkan kepercayaan sepenuhnya terhadap agama. Lebih teruk, si penanya mungkin dituduh sebagai orang yang meragui agama, kuasa dan keesaan Allah SWT.
Bahananya, sebaik sahaja golongan yang kurang faham ini keluar dari bi'ah solehah atau tidak lagi dalam kawalan orang sekeliling, mereka mungkin dengan mudah jatuh ke dalam perangkap suasana yang bebas!
Justeru, fahamilah, kepentingan dalam memahami itu juga cabang yang signifikan dalam menuntut ilmu, bukan hanya pengetahuan. Pengetahuan itu mesti disuburkan dengan kefahaman. Jika hanya tahu tetapi tidak faham, maka bolehlah dikatakan pegangan yang dipegang itu adalah lemah.
Maka, jika ada remaja yang datang bertanya, fahamilah mereka, jangan dicemuh.
Jika ada kanak-kanak yang ingin tahu, jawablah dengan penuh kasih sayang, bukan dipandang acuh tak acuh.
Jika ada yang melakukan kesilapan dalam berhujah, didiklah mereka, jangan diherdik!
Sekiranya prinsip yang dipegang itu kukuh dengan pegangan hujah dan kefahaman yang jitu, insya-Allah, teruslah berdoa agar walau sehebat mana pun pengaruh suasana sekeliling cuba menggugahkan pegangan, seorang Muslim itu mampu bertahan dengan peringatan yang berterusan dan kefahaman yang mendalam.
"SAYA FAHAM AWAK."
TANGISAN anak kecil kedengaran. Si bapa bangkit lalu menenangkan anaknya. Di sisi kaki si anak itu, seorang bayi merangkak-rangkak mencapai mainan. Ketawanya kedengaran. Suara bayi itu tenggelam dalam keriuhan orang dewasa yang sedang berbual.
"Apabila saya mengenakan pakaian seperti ini, ia sebenarnya turut mengawal saya dari segi perbuatan." Saya menyusun bicara. Takut juga tersilap cakap, mungkin mengguris hatinya.
"Bila awak katakan semua itu, saya sungguh faham maksud awak. Kita mungkin tak jauh beza dari segi suasana. Awak satu-satunya yang Melayu di sekolah awak, saya juga satu-satunya Melayu di sekolah saya," sambung saya lagi.
"Tetapi, ramai sahaja pun yang bertudung litup, labuh dan elok pakaian tetapi jenis berkelakuan lasak dan tak jaga batas di sini. Yang Pakistan, Bangladesh dan sebagainya, tidak nampak pun apa yang awak katakan tu," sangkalnya. Seketika kemudian, dia menunduk. Mungkin tersedar apa yang baru sahaja dikatakannya.
"Sorry." Katanya lagi. Saya tersenyum.
"You don't need to be. Pakaian sahaja tidak cukup untuk membataskan kelakuan kita. Itu betul. Tetapi, apa yang saya ingin katakan, dengan memakai pakaian seperti ini, ia membantu. Serta merta saya merasakan yang saya lain daripada mereka. Mereka berpakaian cara lain, saya pula cara lain. Ia menyedarkan saya, saya adalah saya, saya bukan mereka. Itu bererti, saya tidak boleh berkelakuam seperti mereka. "
"You obviously will feel left out that way," katanya.
"Iya. Saya tidak nafikannya. Tetapi apa lagi yang dapat saya katakan, selain daripada keperluan untuk memahami apa yang saya anuti dan mempunyai ilmu yang cukup tentangnya?" saya melontar soalan yang tidak begitu memerlukan jawapan. Dia memandang saya tanpa berkelip matanya.
"You mean...?"
"Maksud saya, apa yang membuatkan saya masih begini tidak lain dan tidak bukan kerana saya ingin faham tentang kenapa saya lakukan semua ini. Kenapa saya bertudung. Kenapa saya bersembahyang. Kenapa saya tidak bergaul dengan mereka yang berlainan jantina sama seperti cara mereka bergaul dengan kawan-kawan mereka. Kenapa saya percaya kepada Allah. Kenapa saya belajar. Saya perlu faham segala-galanya."
"Awak nak katakan yang perbuatan saya selama ini dilakukan tanpa faham?"
"Tidak! Bukan itu maksud saya. Apa yang saya maksudkan adalah kefahaman yang ala kadar dengan kefahaman yang jitu itu lain. Apabila kita tahu sebab sebenar-benarnya kita lakukan sesuatu, kita akan lebih mudah mengamalkannya."
Dia terdiam. Mungkin masih cuba menafsir kata-kata yang dikatakan sebelumnya.
"Dengan kefahaman yang kuat, saya menjadi yakin dengan apa yang saya buat. Biarlah apa orang nak kata. Biarlah apa yang mereka katakan tentang saya. Saya adalah saya. Saya seorang Muslim. Saya senang dengan cara hidup Islam. Saya suka dengan garis panduan yang Allah tunjukkan. Jika mereka tidak suka, itu masalah mereka. Saya sudah jalankan tanggungjawab saya. Other than that, I have to learn to do everything for the sake of Him. Not for anything else, just for Him, Him! With capital H!" Sambung saya lagi.
"If I do it for something else, then I don't understand fully of what I'm doing. Dan saya tidak akan mampu bertahan lama. Kehidupan di sini memerlukan kebergantungan kita yang sepenuhnya kepada Allah. Memang meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Allah. Dan saya faham, bahawa Allah tidak akan mensia-siakan tiap usaha hambaNya. Dia Maha Adil."
Dia kelihatan masih mendengar. Sepertinya ingin mengatakan sesuatu. Saya lalu berkata,"Silakan."
"Awak marahkan saya?" tanyanya.
Saya menggeleng.
"Mereka di luar sana mungkin tak faham apa yang kita percaya. Tetapi biarlah... Hidup ini perlu diikhlaskan sepenuhnya kerana Allah. Jikalau kita mengharapkan perhatian manusia, pasti mengundang kecewa. Tidak akan ada yang berpuas hati sentiasa kerana pasti ada yang tidak senang dengan kepercayaan kita, terutama bagi mereka yang sekular," bicara saya disambung.
"Saya kagum dengan awak, awak ada kesedaran yang tinggi dalam bergaul dengan mereka. Awak takut untuk membuatkan mereka rasa tak senang dengan seorang Muslim. Mungkin saya boleh belajar lagi daripada awak tentang itu," saya katakan lagi padanya.
"Terima kasih." Dia menguntum senyum. Saya kemudiannya bertanya bagaimana dia boleh cemerlang tanpa usaha yang keras. Begitu juga bagaimana dia sungguh memahami hati dan jiwa rakan-rakannya yang berbangsa Inggeris. Dia ceria menceritakan semuanya.
Dalam diskusi itu, hubungan baik kami Alhamdulillah terjaga. Subhanallah, saya sungguh tersentuh mendengar jawapannya.
"Sebab kena faham sewaktu cikgu mengajar dalam kelas. Tak payah belajar semula balik rumah kecuali bila dah lupa. Lepas tu, tentang kawan-kawan tu, pun kena faham minat dan apa yang dia suka. Basically, macam yang awak cakap. Kena faham!" Berderai tawa kami berdua. Saya senang berkawan dengannya. Tetap ceria walau terkadang perbualan kami menjadi agak serius.
"Selamat Hari Raya, semoga awak tabah hati selalu. Mesti susah, tapi awak faham apa yang awak buat. Dan saya pun faham awak," katanya di akhir pertemuan kami pada hari itu.
Sebak saya medengar kata-katanya. Semoga kekuatan faham itu sentiasa mendorong kita semua untuk beramal dengan Islam hingga ke akhir hayat, insya-Allah.
(Photo credit: lilivanili via photo pin cc)
|
The Owner ^_^ Assalamualaikum .. Hai nama saya Hana .. Baru 17 Tahun .. Stay in Johor Bahru .. InsyaALLAH on the way nak Berumah Tangga .. Doa-doakan lah yee .. Add lah saya kat FACEBOOK ( cikhana1995@ymail.com ) CIK HANA .. thanks coz meneroka blog ini dan rajin-rajin lah yee FOLLOW . WARNING, sebenarnye xde warning pon , saja je nak bagi gempak ! kepada yg meneroka blog ni sila menutup aurat , terima kasih Saat waktu tlh berbicara..percayalah cuma kamu yg amat aku sayang bukan yg lain...Bukan fisik, tapi hatimu yg ikhlas n tulus yg membuatkan ku sangat mencintaimu...jangan pernah tinggalkan aku, apapun yg trjadi pada kita brdua nantinya .......ianya hanya kata2....♥ Indah Nya Islam
Cinta Kerana ALLAH
Mutiara Kata
Mutiara Kata
Mutiara Kata
Mutiara Kata
Mutiara Kata
Mutiara Kata
Mutiara Kata
Mutiara Kata
Mutiara Kata
Mutiara Kata
The Credits! |